Thursday, December 13, 2012
Gurindam Jiwa
Tuailah padi
antara masak
Esok jangan
layu-layuan
Intailah kami
antara nampak
Esok jangan
rindu-rinduan
Anak cina pasang
lukah
Lukah dipasang di
Tanjung Jati
Di dalam hati
tidak ku lupa
Sebagai rambut
bersimpul mati
Batang selasih permainan
budak
Daun sehelai
dimakan kuda
Bercerai kasih
bertalak tidak
Seribu tahun
kembali juga
Burung merpati
terbang seribu
Hinggap seekor di
tengah laman
Hendak mati di
hujung kuku
Hendak berkubur
di tapak tangan
Kalau tuan mudik
ke hulu
Carikan saya
bunga kemboja
Kalau tuan mati
dahulu
Nantikan saya di
pintu syurga
Surat kiriman rasmi
Contoh
Surat Kiriman Rasmi Yang Lengkap
Kompleks Penghulu,
Mukim Jorak,
12, Pekan Pagoh,
84600 Muar,
Johor Darul Takzim.
___________________________________________________
___________________________________________________
Ketua polis,
Balai Polis Daerah Muar,
Jalan Petrie,
84600 Muar,
Johor Darul Takzim. 12
MAC 2000.
Tuan,
Cadangan Mengatasi Kemalangan di Pekan Pagoh
Merujuk perkara di atas, saya
selaku penghulu yang bertanggungjawab atas keselamatan penduduk Mukim Jorak,
khususnya penduduk Pekan Pagoh, berasa bimbang dengan kadar kemalangan yang
semakin meningkat dari hari ke hari di mukim kami. Perkara yang menyedihkan, tragedi
ini melibatkan murid sekolah yang melalui pekan ini untuk ke sekolah. Oleh itu,
saya ingin membuat beberapa cadangan kepada pihak tuan untuk mengatasi masalah
kemalangan ini.
2. Cadangan saya yang pertama adalah untuk
meminta pihak tuan mengadakan kawalan lalu lintas, terutamanya pada waktu
pelajar pulang dari sekolah. Langkah ini perlu diambil bagi mengelakkan
kesesakan lalu lintas kerana pada waktu yang sama, kenderaan dari arah Bukit
Kepong dan Lengga juga sibuk menggunakan jalan di pekan ini. Dalam kesibukan
inilah, kemalangan mudah berlaku.Tambahan pula terdapat sebilangan kecil
pemandu yang mementingkan diri dengan tidak memberi laluan kepada murid-murid
sekolah untuk melintas jalan. Jika pihak tuan mengadakan kawalan lalu lintas
pada masa itu, sudah tentu kemalangan dapat dielakkan.
3. Saya juga meminta kerjasama daripada
pihak polis supaya memberikan surat sokongan bagi mendapat kemudahan lampu
isyarat di simpang pekan ini. Setakat ini, permohonan untuk mendapatkan
kemudahan lampu isyarat tidak diluluskan oleh pihak yang bertanggungjawab
kerana kawasan ini masih dianggap terkawal dan tidak terlalu sibuk. Untuk
makluman tuan, pada bulan lalu, sebuah lori yang membawa muatan simen telah
terbabas lalu terbalik di kawasan Pekan Pagoh. Kemalangan dikatakan berpunca
daripada ketiadaan lampu isyarat yang menyebabkan pemandu lori dari Parit
Sulong tidak memberhentikan lorinya ketika sampai di simpang. Pada masa yang
sama, sebuah motosikal datang dari arah Lengga. Dalam usaha mengelakkan motosikal
tersebut, lori berkenaan telah terbabas dan terbalik menyebabkan seorang
peniaga terbunuh. Oleh itu, jika permohonan untuk mendapatkan kemudahan lampu
isyarat diluluskan dengan sokongan pihak tuan, saya yakin kadar kemalangan di
pekan ini dapat dikurangkan.
4. Selain itu, saya mengharapkan agar
pihak tuan dapat menganjurkan ceramah keselamatan jalan raya kepada penduduk
sekitar Pekan Pagoh, khususnya di kalangan pelajar sekolah.Ceramah seperti ini
bukan sahaja akan dapat memberikan kesedaran kepada pelajar betapa pentingnya
keselamatan di jalan raya malah dapat melindungi pengguna jalan raya yang lain.
5. Saya juga mengharapkan kerjasama
daripada pihak tuan untuk mengadakan sekatan jalan raya pada waktu malam.Hal
ini bertujuan untuk membanteras lumba motosikal haram di sekitar Batu 8 hingga
Batu 13. Kegiatan seperti ini tidak boleh dibiarkan kerana boleh mengancam
keselamatan dan ketenteraman orang awam di samping membahayakan nyawa mereka.
6. Oleh yang demikian besarlah harapan saya
agar tuan dapat memberikan perhatian kepada cadangan saya ini. Kami juga
berharap agar pihak tuan dapat meluangkan masa untuk meninjau keadaan Pekan
Pagoh ini.Seterusnya, saya berharap agar tuan dapat mengambil tindakan yang
sewajarnya untuk memastikan keselamatan penduduk di pekan ini terjamin.
Sekian untuk tindakan dan
makluman tuan. Atas kerjasama tuan, saya dahului dengan ucapan ribuan terima
kasih.
Yang menjalankan tugas,
Mohiddin
(MOHIDDIN BIN YASMIN)
Penghulu Mukim Jorak
Subscribe to:
Posts (Atom)